Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka menghadiri Muktamar Tahunan PAS Ke-72 yang berlangsung di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, esok.
Turut dijangka hadir ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta barisan pimpinan UMNO Kelantan.
Menurut laporan Berita Harian, perkara itu dimaklumkan oleh sumber daripada UMNO.
“Insya-Allah Presiden UMNO hadir Muktamar PAS esok,” kata sumber berkenaan.
Muktamar tersebut akan dirasmikan oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi ucapan dasar sebelum kandungannya dibahaskan oleh para perwakilan.
Media sebelum ini melaporkan bahawa PAS telah mengundang Ahmad Zahid dan pimpinan UMNO untuk menghadiri muktamar tahunan parti itu.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, jemputan itu dibuat kerana UMNO dianggap sebagai rakan kerjasama strategik.
Sumber: Berita Harian
