Aliran trafik di pintu masuk Kelantan dari Merapoh, Pahang ke Kampung Mentara, Gua Musang dilaporkan perlahan sepanjang kira-kira 20 kilometer susulan pertambahan kenderaan sempena cuti persekolahan dan sambutan Hari Kebangsaan pada Isnin ini.
Menurut laporan Bernama, anggota polis trafik dan Unit Kereta Peronda (MPV) telah digerakkan ke lokasi untuk melakukan rondaan secara berkala.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihak polis sentiasa memantau pergerakan trafik di semua laluan utama bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan kelancaran perjalanan berada dalam keadaan terkawal.
“Setakat ini pihak polis sentiasa memantau rapi pergerakan aliran trafik di semua laluan utama bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pengguna jalan raya terkawal.
“Kesesakan dikesan berlaku di kawasan lencongan projek pembinaan Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang menyebabkan aliran trafik menjadi perlahan dari Merapoh sehingga ke penghujung lebuh raya di Kampung Mentara,” katanya.
Trafik lancar selepas kawasan lencongan
Sik berkata, aliran trafik kembali lancar selepas pengguna jalan raya melepasi kawasan lencongan projek LTU berkenaan.
“Setakat ini, kenderaan didapati memang banyak namun keadaan jalan raya di bandar Gua Musang masih lancar tanpa sebarang kesesakan luar biasa,” katanya.
Tinjauan Bernama sehingga jam 5 petang pada 29 Ogos di sekitar bandar Gua Musang menuju Kuala Krai turut mendapati aliran trafik masih lancar meskipun jumlah kenderaan bertambah sejak pagi.
PLUS jangka 2.2 juta kenderaan
Sementara itu, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sebelum ini menjangkakan aliran trafik mencecah 2.2 juta kenderaan di lebuh raya kendaliannya pada hari puncak antara 28 hingga 31 Ogos serta 4 hingga 7 September.
Pertambahan trafik itu dijangka berlaku sempena sambutan Hari Kebangsaan dan cuti persekolahan.
PLUS turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan lebih awal dengan merujuk jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA menerusi aplikasi PLUS.
Langkah itu dapat membantu mengagihkan aliran trafik dan mengurangkan tumpuan kenderaan pada waktu puncak.
Sumber: Bernama
