Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan dua lelaki warga China yang dipercayai mendalangi kegiatan scammer dalam talian menerusi serbuan di kawasan belukar Kampung Siram, Pasir Mas awal pagi Isnin.
Serbuan yang dijalankan menerusi Op Taring Wawasan oleh Batalion 8 PGA itu turut membawa kepada rampasan 45 unit telefon bimbit, 142 kad sim dan dua kad memori (pendrive) dengan nilai keseluruhan melebihi RM48,000.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad berkata, pihaknya mengesan kedua-dua lelaki berusia 32 dan 34 tahun itu dalam keadaan mencurigakan ketika operasi dijalankan.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai memasuki Malaysia melalui laluan tidak sah.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai terbabit dalam aktiviti scammer dalam talian berdasarkan jumlah telefon bimbit dan kad sim yang ditemui dalam simpanan mereka.
“Suspek dipercayai terbabit dengan aktiviti scammer dalam talian berdasarkan kuantiti 45 unit telefon bimbit dan 142 kad sim dalam milikannya.
“Siasatan lanjut akan dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/62,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa kedua-dua suspek bersama barang rampasan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Dalam masa sama, PGA akan terus mempergiatkan risikan dan pemantauan bagi membanteras sebarang aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta jenayah rentas sempadan di negeri ini.
Sumber: Harian Metro
SHARE:
