Pelanggan semua bank di Malaysia tidak lagi dikenakan caj RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank di mesin juruwang automatik (ATM) dan mesin kitar semula pintar (SRM) bermula 1 Julai ini.
Perkara itu diumumkan menerusi kenyataan bersama Persatuan Bank-bank di Malaysia (ABM), Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia (AIBIM) serta Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM).
Menurut kenyataan itu, pemegang kad debit Malaysia kini boleh mengeluarkan wang tunai di lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara tanpa dikenakan caj tambahan, tidak kira bank yang mengeluarkan kad tersebut.
Libatkan Semua ATM Dan SRM Bank Tempatan
Inisiatif berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dan melibatkan ATM serta SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia.
Menurut persatuan terbabit, langkah itu mencerminkan komitmen industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, inklusif dan mampu milik.
Kurangkan Beban Kewangan Pengguna
Mereka berkata, walaupun penggunaan pembayaran digital semakin meningkat, wang tunai masih menjadi kaedah pembayaran penting bagi ramai rakyat Malaysia.
Justeru, pemansuhan caj pengeluaran tunai antara bank dilihat dapat membantu mengurangkan beban kewangan harian pengguna selain memastikan akses kepada perkhidmatan perbankan yang lebih mudah dan berpatutan.
“Inisiatif ini menegaskan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal, inklusif dan berorientasikan pelanggan,” menurut kenyataan itu.
Sokong Peralihan Ke Arah Ekonomi Digital
Dalam masa sama, industri perbankan turut mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.
Menurut kenyataan itu, bank-bank akan terus memperkukuh penyelesaian pembayaran digital yang selamat, mudah dan lancar bagi memenuhi keperluan pengguna.
Malah, industri perbankan komited untuk memberi kebebasan kepada pelanggan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan masing-masing.
Sumber: Utusan
SHARE:
