Kelantan dilihat mempunyai potensi geografi dan cuaca yang besar untuk dibangunkan sebagai hab atau “lubuk ekonomi” tenaga boleh baharu negara, khususnya dalam sektor solar.
Bagaimanapun, kadar penyerapan teknologi tersebut dalam kalangan pengguna domestik dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih berada pada tahap perlahan.
Potensi Besar Tenaga Solar Di Kelantan
Profesor Madya Fakulti Sains Data dan Komputeran Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Madya Dr. Hasyiya Karimah Adli berkata, negeri itu memiliki keadaan bentuk muka bumi yang sesuai serta penerimaan cahaya matahari yang konsisten.
Menurut beliau, kadar radiasi solar di Kelantan dianggarkan antara 4.21 hingga 5.56 kWh/m² setiap hari, menjadikan negeri itu antara lokasi ideal untuk pembangunan industri solar.
“Namun, pada peringkat domestik pemasangan masih perlahan kerana kekangan kos permulaan yang tinggi,” katanya.
Kos Tinggi Jadi Penghalang
Beliau menjelaskan, kos pemasangan sistem solar rumah ketika ini dianggarkan antara RM15,000 hingga RM30,000 bagi setiap kediaman.
Keadaan itu menyebabkan ramai rakyat masih belum mampu untuk beralih kepada penggunaan tenaga solar walaupun terdapat pelbagai inisiatif kerajaan seperti skim sewaan tanpa modal awal.
Potensi Kurangkan Kebergantungan Tenaga Fosil
Mengulas lanjut, beliau berkata Kelantan merekodkan penggunaan elektrik sekitar 2,500 hingga 3,000 GWh setahun, dan secara analitik hanya memerlukan kapasiti sekitar 2.22 GWp untuk menampung keperluan elektrik negeri sepenuhnya.
Menurutnya, kapasiti itu hanya memerlukan sekitar 7,777 ekar tanah, iaitu kira-kira 0.2 peratus daripada keluasan keseluruhan negeri Kelantan.
Beliau turut menekankan bahawa negeri ini mempunyai banyak tanah terbiar serta bumbung bangunan yang boleh dimanfaatkan untuk pemasangan panel solar.
Solar Terapung Jadi Model Rujukan
Hasyiya turut memuji projek Loji Solar Terapung Danau Tok Uban di Pasir Mas berkapasiti 98 MWp sebagai contoh terbaik penggunaan teknologi tenaga hijau di negeri ini.
Menurutnya, inovasi solar terapung membantu mengurangkan kesan terhadap alam sekitar termasuk isu penerokaan hutan.
Risiko Tenaga Fosil Global
Beliau turut memberi amaran mengenai kebergantungan Malaysia terhadap import minyak mentah, termasuk risiko geopolitik di rantau Asia Barat yang boleh menjejaskan harga minyak dunia.
Situasi itu menurutnya menjadi isyarat penting untuk negara mempercepatkan peralihan kepada tenaga boleh baharu.
Cadangan Percepatkan Penggunaan Solar
Antara cadangan yang dikemukakan termasuk mempercepatkan proses kelulusan pemasangan solar domestik di bawah 10 kWp kepada tempoh 48 jam melalui laluan hijau.
Beliau juga mencadangkan insentif seperti rebat tunai atau penggunaan e-dompet bagi menggalakkan lebih ramai rakyat beralih kepada tenaga hijau.
Peluang Pekerjaan Baharu
Menurut beliau, peralihan kepada tenaga boleh baharu selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) akan membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang seperti kejuruteraan solar, grid pintar dan analisis data tenaga.
Sumber: Bernama
SHARE:
