Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mencuri perhatian apabila membuat penampilan khas sebagai pelakon dalam filem The Keris yang dijangka ditayangkan pada Julai ini.
Kemunculan beliau dalam dunia lakonan ini menjadi pengalaman pertama dan disifatkan sebagai peluang untuk menyampaikan mesej positif kepada generasi muda melalui medium perfileman.
Bawa Watak Panglima Dalam Elemen Kepahlawanan Melayu
Dalam filem tersebut, Sanusi membawakan watak seorang panglima yang memberi semangat kepada kumpulan pesilat dalam sebuah pertarungan.
Watak itu turut mengangkat elemen kepahlawanan Melayu yang diinspirasikan daripada semangat Hang Tuah.
“Watak saya sebagai panglima yang datang memberi semangat kepada pesilat-pesilat, termasuk seorang pesilat yang akan bertarung dengan jaguh luar negara,” katanya.
Pengalaman Baharu Dalam Dunia Lakonan
Menurutnya, walaupun berdepan cabaran kerana dunia lakonan memerlukan penghayatan watak yang mendalam, pengalaman itu tetap menarik untuk dicuba.
“Berlakon ini susah kerana perlu menghayati skrip dan watak. Saya orang real, tetapi tidaklah terlalu kekok,” katanya.
Fokus Pada Mesej Budaya Melayu
Sanusi menjelaskan beliau menerima tawaran tersebut kerana tertarik dengan mesej berkaitan budaya Melayu dan seni silat.
Katanya, filem mampu menjadi medium penting dalam menyampaikan nilai positif kepada masyarakat, khususnya generasi muda.
“Saya tidak ambil bayaran, percuma sahaja. Saya buat ini sebab ia berkaitan budaya Melayu dan pahlawan kita,” katanya.
Tidak Tolak Tawaran Masa Depan
Beliau turut tidak menolak kemungkinan untuk kembali berlakon sekiranya watak yang diberikan sesuai dengan dirinya.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
