Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas sebanyak 8,000 biji pil yaba yang dianggarkan bernilai RM80,000 dalam satu operasi di bawah Op Taring Wawasan Kelantan di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Kubang Gadong, Pasir Mas, pada Khamis.
Operasi itu dijalankan oleh Strike Force Kompeni C Batalion 9 PGA Kuala Terengganu sekitar jam 3 petang, hasil maklumat risikan berkaitan aktiviti penyeludupan migran di lokasi berkenaan.
Menurut laporan, ketika tinjauan dijalankan, pihak polis menemui sebuah beg silang jeans berwarna biru lusuh bertulis “Para John” yang ditinggalkan di atas tanah.
Pasukan operasi kemudian membuat pemerhatian selama kira-kira 30 minit dari jarak 50 meter, namun tiada individu tampil menuntut beg tersebut.
Hasil pemeriksaan lanjut ke atas beg itu membawa kepada penemuan 8,000 biji pil yaba yang dipercayai untuk tujuan pengedaran.
Kesemua barang kes dirampas dan dibawa ke Pejabat BSJND IPD Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat dalam operasi itu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
SHARE
