Polis sedang menjalankan siasatan berhubung satu insiden tular melibatkan seorang pemandu lori yang bertindak menumbuk pemandu bas selepas berlaku kemalangan di Kilometer 28.8, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik–Jeli pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 4.46 petang.
Menurut beliau, siasatan mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari melibatkan sebuah bas jenis Scania yang dipandu lelaki berusia 22 tahun dari arah Lumut menuju ke Terengganu bersama 20 penumpang.
Katanya, apabila tiba di lokasi jalan berselekoh, bas tersebut dipercayai bergesel dengan sebuah lori jenis Isuzu yang dipandu lelaki berusia 38 tahun dari arah Jeli ke Gerik.
“Kejadian itu menyebabkan kerosakan pada cermin sisi bas dan tingkap sebelah kanan lori,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Bas Teruskan Perjalanan Kerana Lokasi Tidak Sesuai Berhenti
Abdul Samad berkata, pemandu bas terbabit kemudian meneruskan perjalanan kerana lokasi kejadian tidak sesuai untuk berhenti.
Bagaimanapun, seorang lagi pemandu lori berusia 49 tahun yang menyaksikan kejadian tersebut dikatakan telah menghubungi pemandu lori terlibat bagi membantu menahan bas berkenaan.
Bas tersebut akhirnya berjaya ditahan kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian menghala ke Hentian Titiwangsa.
Pemandu Bas Dapat Rawatan Di Hospital Gerik
Menurut Abdul Samad, sejurus pemandu kedua bas keluar dari kenderaan, lelaki berusia 49 tahun itu bertindak menumbuk pipi kanan mangsa.
Akibat kejadian itu, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Daerah Gerik sebelum dibenarkan pulang.
Kes kini disiasat mengikut Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan.
Dalam masa sama, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung video tular insiden berkenaan di media sosial.
Sebelum ini, rakaman video memaparkan sebuah bas ekspres ditahan sekumpulan pemandu lori di laluan tersebut tular dan mendapat perhatian ramai.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
