Seorang anggota tentera wanita dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual terhadap anak lelakinya sendiri, dua tahun lalu.
Hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim, Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin sebaik sahaja tertuduh berusia 44 tahun membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di mahkamah.
Perbuatan Berlaku Di Rumah Sendiri
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai individu yang mempunyai hubungan amanah iaitu ibu kandung, dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun.
Perbuatan itu dilakukan dengan cara menghi**p kem4lu4n kanak-kanak tersebut bagi tujuan seksu4l di sebuah rumah di Taman Peruna, Sungai Udang dalam daerah Melaka Tengah, kira-kira jam 10.30 malam pada hujung Disember 2024.
Didakwa Di Bawah Akta Kesalahan Seksual
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Bagi kesalahan tersebut, Seksyen 14(a) memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, manakala Seksyen 16(1) pula membawa hukuman penjara maksimum lima tahun serta sebatan tidak kurang dua kali.
Pendakwa Mohon Hukuman Setimpal
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.
Namun, tertuduh yang juga ibu tunggal merayu agar hukuman diringankan kerana perlu menyara tiga anaknya selepas selesai menjalani hukuman.
Mahkamah Kekalkan Hukuman Tegas
Mahkamah bagaimanapun menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, berkuat kuasa bermula dari tarikh tangkapan pada 3 Mac lalu.
