2,010 Orang Di Kelantan Jadi Mangsa Scammer, Jumlah Kerugian Lebih RM50 Juta

Rakyat di Kelantan mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM50.09 juta sepanjang tahun 2025 akibat jenayah penipuan atau scam, walaupun nilai kerugian mencatatkan sedikit penurunan berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat, berkata statistik jenayah komersil menunjukkan peningkatan yang membimbangkan apabila jumlah kes direkodkan hampir dua kali ganda dalam tempoh dua tahun.

Menurut beliau, sebanyak 1,095 kes jenayah komersil direkodkan sepanjang tahun 2024 sebelum melonjak kepada 2,010 kes pada tahun 2025, iaitu peningkatan sebanyak 915 kes.

“Walaupun jumlah kes meningkat dengan ketara, nilai keseluruhan kerugian kewangan menurun daripada RM55.04 juta pada 2024 kepada RM50.09 juta pada 2025, iaitu pengurangan sebanyak RM4.94 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

Menurutnya, kes penipuan telefon atau Phone Scam (Macau Scam) meningkat daripada 98 kes pada 2024 kepada 139 kes pada 2025, dengan nilai kerugian melonjak daripada RM4.47 juta kepada RM7.63 juta.

Kes penipuan e-dagang turut mencatatkan peningkatan ketara apabila melonjak daripada 213 kes kepada 453 kes, dengan kerugian meningkat daripada RM1.85 juta kepada RM3.29 juta.

Selain itu, kes pinjaman tidak wujud meningkat daripada 106 kes kepada 195 kes, dengan nilai kerugian bertambah daripada RM1.34 juta kepada RM1.59 juta.

Beliau berkata, kes penipuan pelaburan dalam talian juga meningkat daripada 173 kes kepada 205 kes, dengan lonjakan kerugian daripada RM9.14 juta kepada RM12.47 juta, menjadikannya antara penyumbang utama kerugian kewangan tertinggi.

Peningkatan paling ketara dari segi bilangan kes pula melibatkan penipuan kerja sambilan dalam talian, yang melonjak daripada 80 kes pada 2024 kepada 253 kes pada 2025.

“Kerugian bagi kes ini turut meningkat mendadak daripada RM1.64 juta kepada RM7.90 juta dan amat membimbangkan kerana ia menyasarkan rakyat biasa yang mencari pendapatan tambahan,” katanya.

Bagaimanapun, kes Love Scam dan Parcel Scam menunjukkan penurunan daripada 30 kes kepada 24 kes, dengan nilai kerugian menurun daripada RM1.35 juta kepada RM389,000.

Dalam perkembangan sama, kes lain-lain jenayah siber meningkat daripada 253 kes kepada 449 kes dengan kerugian melonjak daripada RM5.30 juta kepada RM11.29 juta.

Manakala kategori lain-lain jenayah komersil meningkat daripada 142 kes kepada 295 kes, namun nilai kerugian mencatatkan penurunan drastik daripada RM31.28 juta kepada RM5.54 juta.



Menurut beliau, secara keseluruhan statistik tersebut menunjukkan jenayah komersil terus meningkat dari segi bilangan kes, namun impak kewangan berjaya dikawal hasil penguatkuasaan serta peningkatan kesedaran awam.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Ibu Di Kuala Krai Tabah Jaga Bayi Hidrosefalus, Harap Anak Membesar Sihat
|
Bagi seorang ibu, melihat anak membesar dengan sihat sudah…
Bengkel Buat Bakul Lori Terbakar Di Wakaf Bharu, Kerugian Cecah RM40,000
|
Seorang pemilik bengkel membuat bakul lori mengalami kerugian lebih…
Penghantar Makanan Hilang Kaki, Ibu Rayu Pemandu Langgar Lari Bertanggungjawab
|
Seorang ibu tidak mampu menahan sebak apabila anak lelaki…
Kelantan Red Warrior FC Seru Penyokong Penuhi Stadium, Tawar Tiket Beli 1 Percuma 4
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW) nampaknya benar-benar mahu melihat…
Seleweng Dana Zakat RM230 Juta, SPRM Tahan Tiga Individu
|
Tiga individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah badan bukan…
Tular Caj RM30 Baiki Kalkulator, KPDN Serbu Premis Di Kota Bharu Untuk Siasatan
|
Isu caj baiki kalkulator yang dimasuki air sehingga mencecah…
Jawatan Kosong Kelantan