Anak Muda Berselawat, Malam Munajat, Warnai Ambang Tahun Baharu Di Dua Negeri Pantai Timur

Dua negeri Pantai Timur memilih pendekatan berbeza namun sehaluan dalam menyambut ambang Tahun Baharu 2026 apabila Kelantan dan Terengganu mengisinya dengan program berteraskan penghayatan rohani, doa dan munajat kepada Allah SWT.

Di Kelantan, sambutan ambang tahun baharu diwarnai dengan program Anak Muda Berselawat yang berlangsung di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, menghimpunkan ribuan anak muda dalam suasana penuh ketenangan dan rahmat.

Negeri ini terus memilih pendekatan tersendiri dengan mengisi sambutan tahun baharu melalui majlis ilmu, solat hajat dan doa, sebagai ikhtiar memohon kebaikan untuk diri, keluarga serta negeri yang dicintai.

Majlis turut menampilkan pendakwah yang tidak asing lagi, Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid, yang menyampaikan tausiah berkaitan langkah-langkah pembinaan jiwa anak muda.

Terdahulu, Syeikh Wazir Che Awang, Penasihat Kesatuan Pondok Kelantan, memimpin solat hajat bagi memohon kesejahteraan daripada Allah SWT.

Majlis tersebut turut dihadiri Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua Polis Negeri Kelantan serta mudir-mudir pondok dari seluruh negeri.

Sementara itu di Terengganu, suasana penuh ketenangan menyelubungi Stadium Tertutup Gong Badak menerusi penganjuran Malam Munajat Terengganu 2026.

Selepas Solat Maghrib, program dimulakan dengan Kuliah Maghrib khas bertajuk “Menghidupkan Jiwa Dengan Al-Quran” yang disampaikan oleh Ustaz Muzaihari Kamal Mustapa Kamal.

Malam Munajat Terengganu menghimpunkan pelbagai pengisian rohani termasuk solat berjemaah, solat hajat, majlis bacaan al-Quran, selawat, malam kesenian Islam serta bicara murabbi bersama Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Syed Norhisyam. Munajat secara berjemaah pula dipimpin oleh Ustaz Ahmad Raqim An-Nuria.

Program ini dianjurkan sebagai wadah untuk umat Islam menundukkan hati, memohon keampunan serta memperbaharui keimanan menjelang kedatangan bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Ia turut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam mengimarahkan syiar Islam dan memupuk nilai kerohanian dalam kalangan masyarakat.

TERKINI

KRW FC Terima Suntikan Penajaan Baharu Daripada Raja Perfume
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) terus menerima sokongan…
Juruwang Didenda RM5,000 Rakam Kakak Ipar Dalam Tandas Guna Pen Perakam
|
Seorang juruwang didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini…
Dikejar 10 Kilometer, Lelaki Tinggalkan 1.36 Tan Minyak Masak Bersubsidi
|
Cubaan seorang lelaki meloloskan diri daripada pihak berkuasa berakhir…
Rohingya Tidak Layak Mohon Lesen, Pemilik Kenderaan Boleh Didakwa – JPJ Kelantan
|
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menegaskan etnik Rohingya tidak…
Saifuddin Dedah 5 Daerah Catat Penyalahgunaan Dadah Tertinggi Dalam Negara
|
Penyalahgunaan dadah sintetik kini menjadi ancaman terbesar negara apabila…
Kereta Dah Jumpa, Nor Afiza Masih Belum Ditemui Sejak 16 Jun
|
Seorang wanita berusia 41 tahun yang dilaporkan hilang sejak…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!