Penumpang sebuah bas ekspres berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kelantan bertembung dengan sebuah treler di Jambatan Endau, Kilometer 159 Jalan Kuantan–Johor Bahru, pada Jumaat malam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 malam, pemandu bas bersama 30 penumpang dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan, meskipun kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan pada bahagian hadapan.
Ketua Polis Daerah Rompin, Sharif Shai Sharif Mondoi, berkata siasatan awal mendapati treler jenis Sino Truck yang membawa muatan batang besi sedang dalam perjalanan dari Kuantan ke Johor Bahru.
Menurutnya, bas ekspres tersebut pula bergerak dari Johor Bahru menghala ke Kuantan sebelum meneruskan perjalanan ke Kelantan.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, bas dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan treler yang berada di laluannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau memaklumkan, akibat perlanggaran itu kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan, namun tiada kecederaan dilaporkan melibatkan pemandu mahupun penumpang bas.
Tambahnya, kes kemalangan berkenaan diklasifikasikan di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59).
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi penolong pegawai penyiasat di talian 013-9250001 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan oleh Polis Diraja Malaysia.
Dalam pada itu, polis turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, terutama ketika memandu pada waktu malam dan di laluan jambatan.
Sumber: Sinar Harian
