Seorang lelaki berjaya diselamatkan polis selepas dipercayai terjun ke dalam Sungai Gate Air Pengkalan Petah di Tawang, Bachok dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang pada 28 Julai lalu.
Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin, sejurus menerima maklumat, sepasukan pegawai dan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian.
Setibanya di lokasi, polis menemui seorang lelaki Melayu sedang terapung di dalam sungai dalam keadaan tidak berpakaian.
Berdasarkan maklumat orang awam, lelaki itu bertindak agresif ketika usaha membawanya naik ke tebing sungai dilakukan.
Bagaimanapun, polis berjaya menenangkan lelaki berkenaan dan selepas hampir 30 minit, operasi menyelamat berjaya dilakukan dengan selamat.
Pemeriksaan ke atas tubuh badan lelaki itu tidak menemui sebarang barang salah atau barangan yang menyalahi undang-undang.
Lelaki berkenaan kemudian dibawa ke Balai Polis Tawang untuk tindakan lanjut.
Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis amphetamine sebelum dia ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Semakan lanjut turut mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan jenayah.
Dalam kenyataan sama, Polis Daerah Bachok merakamkan penghargaan kepada orang awam yang membantu menyalurkan maklumat serta memberi kerjasama sepanjang operasi dijalankan.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya segera menghubungi pihak polis atau agensi berkaitan sekiranya berdepan situasi kecemasan bagi membolehkan tindakan segera diambil.
