Seorang suri rumah direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan lima laras senjata api termasuk raifal jenis M16 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Miak, Kuala Krai semalam.
Perintah reman terhadap wanita berusia 32 tahun itu bermula hari ini hingga Sabtu, dikeluarkan oleh Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, suspek ditahan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Miak semalam.
Menurut beliau, perintah reman itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 berkaitan pemilikan senjata api.
Terdahulu, media melaporkan PGA merampas lima laras senjata api termasuk raifal M16 selepas menahan seorang wanita dalam serbuan pada jam 6.45 petang.
Serbuan itu dilakukan menerusi Ops Bersepadu Khazanah Siri 4/2026 bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Jabatan Perhutanan Kelantan.
Sumber: Kosmo
SHARE:
