Lelaki Maut Dalam Kemalangan Tiga Kenderaan Di Machang

Seorang remaja lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 35.8 Jalan Kota Bharu–Kuala Krai, berhampiran Simpang Tiga Dewan Kechil Labok, Machang, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Machang, Ahmad Shafiki Hussin, berkata Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 8.15 malam berhubung kejadian tersebut.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 8 malam apabila sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu seorang wanita bersama empat orang anaknya dari arah Kuala Krai cuba membelok masuk ke simpang Dewan Kechil Labok yang terletak di sebelah kanan jalan.

“Ketika kereta Perodua Myvi itu memasuki simpang, sebuah motosikal jenis Honda yang ditunggang mangsa dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Krai telah melanggar bahagian sisi kiri kereta berkenaan.

“Akibat pelanggaran itu, Perodua Myvi hilang kawalan lalu melanggar sebuah lagi kenderaan iaitu Honda City yang dipandu seorang wanita bersama dua orang anaknya yang sedang menunggu di simpang sama untuk keluar menghala ke Kota Bharu,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Ahmad Shafiki berkata, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

Bagaimanapun, pemandu serta semua penumpang kedua-dua buah kereta terbabit dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.



Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Fatin Nurhanis Ibrahim di talian 011-1454020 atau Bilik Gerakan IPD Machang di talian 09-9751222.

TERKINI

12 Pasukan Bola Sepak Kelantan Yang Pernah Mewarnai Liga Malaysia
|
Kelantan pernah dikenali sebagai antara negeri yang paling kuat…
Anwar Lancar Avatar AI, Pelawa Rakyat Kongsi Pandangan Secara Terus Di WhatsApp
|
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat Malaysia,…
Rumah Kedai Sedang Diubah Suai Runtuh, Hempap Dua Kenderaan Di Melaka
|
Suasana tenang di Taman Kota Laksamana, Melaka bertukar cemas…
KRW FC Hantar Dokumen Kepada FIFA, Yakin Sekatan Perpindahan Dapat Diselesaikan
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) memaklumkan telah menghantar…
JAKIM Nafi Iktiraf Sijil Nikah Rohingya, Guna Nombor Rujukan Palsu
|
Dakwaan mengenai sijil perakuan nikah melibatkan etnik Rohingya yang…
Suami Isteri Ditahan Disyaki Guna Dron Seludup Tembakau Ke Penjara
|
Cubaan menyeludup tembakau ke dalam Penjara Sungai Udang, Melaka…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!