Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mendedahkan insiden haiwan ternakan berkeliaran dan dirempuh tren di landasan kereta api direkodkan hampir setiap minggu, sekali gus menyebabkan kerugian melebihi RM100,000 setiap tahun.
Pemangku Pengurus Besar Kawalan Operasi KTMB, Sadun Abdullah, berkata pelanggaran tersebut kerap berlaku di sepanjang landasan dari Gemas hingga Tumpat.
Menurutnya, kejadian itu bukan sahaja menyebabkan kerosakan pada tren serta kelewatan operasi, malah turut mengakibatkan penternak mengalami kerugian apabila ternakan mereka mati dirempuh.
“KTMB menanggung kerugian akibat kerosakan dan kelewatan operasi, manakala penternak pula kehilangan ternakan. Ini kerugian dua hala yang sepatutnya boleh dielakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program KTMB Santuni Pelajar Sekolah Wilayah Pantai Timur sempena Hari Pertama Persekolahan 2026, pada Ahad.
Turut hadir ialah Pemangku Pengurus Besar Perkhidmatan ETS dan Antarabandar KTMB, Mohd Azhar Abu Bakar, serta Pengurus Wilayah Timur, Basri Abu Bakar.
Sadun berkata, bagi mengatasi masalah tersebut, KTMB telah melaksanakan pelbagai langkah termasuk kempen kesedaran keselamatan, sesi libat urus bersama penternak dan ketua kampung.
Selain itu, pengedaran risalah di surau dan masjid turut dilakukan sebagai peringatan kepada pemilik ternakan agar lebih bertanggungjawab dalam mengawal haiwan masing-masing.
“Kerjasama semua pihak amat penting bagi mengelakkan kerugian berterusan serta memastikan keselamatan operasi kereta api dan pengguna sentiasa terjamin,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
