Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas lebih 215 tan dadah bernilai RM3.1 bilion serta menahan lebih 24,000 individu dalam operasi membanteras jenayah narkotik di seluruh negara sepanjang tempoh Januari hingga 18 Disember tahun ini.
Menurut laporan Berita Harian, dalam tempoh sama, polis melaksanakan 609 operasi yang berjaya menumpaskan 270 sindiket pengedaran dadah, membabitkan tangkapan 737 individu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Hussein Omar Khan berkata, operasi berkenaan turut membawa kepada pembongkaran 19 makmal dadah haram dengan penahanan 52 individu termasuk empat ahli kimia.
Menurutnya, keseluruhan operasi itu menyaksikan rampasan dadah dan bahan terlarang di bawah Akta Racun seberat 215 tan dengan nilai pasaran gelap dianggarkan RM3.1 bilion.
“Sepanjang tempoh sama, sebanyak 234,567 kertas siasatan dibuka mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952, membabitkan tangkapan seramai 255,248 individu.
“Daripada jumlah itu, 157,648 kes atau 67 peratus sudah dituduh di mahkamah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus.
Hussein berkata, JSJN turut melumpuhkan kekuatan kewangan sindiket dadah apabila aset bernilai RM141 juta disita, manakala RM29 juta lagi dilucuthakkan sepanjang tempoh sama.
“Tindakan sitaan dan pelucuthakan itu bertujuan memastikan keuntungan haram hasil aktiviti jenayah tidak digunakan semula untuk memperkukuh rangkaian sindiket,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, seramai 808 individu ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 bagi memutuskan rangkaian sindiket dan menghalang mereka kembali terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
Tindakan tegas terhadap penagih berulang
Menurutnya, JSJN mengambil tindakan tegas terhadap penagih berulang apabila 9,512 individu dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta sebatan tidak melebihi tiga kali.
“Tindakan berterusan ini berjaya menurunkan kadar jenayah indeks yang dilakukan oleh penagih dadah,” katanya.
Mengulas lanjut, Hussein berkata sepanjang tahun ini, sebanyak 15 pelupusan barang kes dadah dilaksanakan melibatkan keseluruhan rampasan seberat 9,822 kilogram.
Tiga jenis dadah utama berdasarkan berat tertinggi yang dilupuskan ialah methamphetamine (1,591kg), ganja (902kg) dan heroin (681kg).
Beliau berkata, JSJN turut mengenal pasti tiga modus operandi utama sindiket menyeludup dadah iaitu transit di perairan laut dalam, penggunaan individu sebagai ‘drug mules’ serta penyalahgunaan perkhidmatan kontena.
“Sindiket menggunakan bot nelayan untuk mengambil bekalan dadah daripada kapal induk di laut dalam sebelum dibawa masuk ke perairan Malaysia.
“Selain itu, individu direkrut melalui media sosial dengan janji tawaran pekerjaan atau pakej percutian, dan dadah turut disembunyikan dalam kontena dengan pengisytiharan barangan sah,” katanya.
Tambah beliau, kejayaan mengekang penyeludupan dadah turut dibuktikan menerusi Op Gombe pada 23 April lalu dengan rampasan 590kg methamphetamine dan heroin asas bernilai RM24.9 juta, selain Op Borzoi dan Op Virola hasil kerjasama dengan Australian Federal Police.
“Walau apa juga modus operandi digunakan, JSJN tetap komited menjalankan risikan komprehensif dan tindakan penguatkuasaan tegas bagi membanteras penyeludupan, pengedaran dan penyalahgunaan dadah di negara ini,” katanya.
Sumber: Berita Harian
