Impian jadi guru mungkin terkubur, Adam dilema tidak mahu bebankan keluarga

Berbaki seminggu sebelum tarikh pendaftaran, Wan Muhammad Adam Wan Mohd Firdaus masih belum mampu melengkapkan persediaan untuk memulakan pengajian di Kolej Profesional MARA Indera Mahkota, Pahang.

Menurut laporan Berita Harian, remaja berusia 18 tahun itu mengakui dia kini berbelah bahagi antara mengejar impian atau tidak mahu menambah beban kewangan keluarga.

Wan Muhammad Adam menerima tawaran diploma dalam bidang Komunikasi Bahasa Inggeris pada 28 Oktober lalu.

Yuran pengajian sebanyak RM350 perlu dijelaskan sebelum 2 November dan menurutnya tempoh yang singkat memaksa ibu bapanya berhutang dengan saudara mara bagi memastikan yuran tersebut dapat dilunaskan.

Katanya, pendaftaran pada 27 November semakin hampir tetapi hanya beberapa helai pakaian terpakai yang sempat disediakan setakat ini.

Remaja itu berkongsi bahawa minatnya untuk menjadi seorang guru membuatkan tawaran ke KPM amat bermakna, lebih lagi kerana yuran pengajiannya lebih rendah berbanding institusi lain.

Namun kekangan kewangan keluarga menyebabkan persiapan kelengkapannya tertangguh.

Bapanya, Wan Mohd Firdaus Ismail berusia 40 tahun, menghidap gout kronik sejak tujuh tahun lalu sehingga tidak mampu bekerja.

Sebahagian besar pendapatan keluarga digunakan untuk rawatan penyakitnya.

Ibunya, Norkhairidah Khairul Anuar berusia 39 tahun, menjadi tulang belakang keluarga dengan mengambil tempahan memasak dan membuat kuih sejuk beku, namun kerjanya sering terhenti kerana perlu menguruskan suami dan tiga lagi anak yang masih bersekolah.

Norkhairidah berkata, keluarga mereka sebenarnya sangat gembira apabila Adam ditawarkan tempat di KPM selepas sempat mengikuti Tingkatan Enam selama tiga bulan.

Namun kegembiraan itu bercampur rasa susah hati memikirkan kos persiapan anak sulungnya. Buat masa ini mereka hanya mampu menyediakan pakaian asas.

Katanya, Adam ada meluahkan kebimbangan mengenai persediaan ke kolej tetapi sebagai ibu, beliau tetap berusaha menenangkan anaknya walaupun dirinya sendiri belum pasti bagaimana mereka akan menampung kos perjalanan, kelengkapan dan perbelanjaan awal sebelum elaun pengajian diterima.

Beliau mengakui sudah banyak berhutang dengan ahli keluarga dan berasa segan, namun keadaan mendesak memaksa mereka mencari bantuan.

Keluarga ini turut menerima kunjungan NGO Cempaka Merah Asnaf Society yang diketuai Che Norhayati Mohamed, yang hadir menyampaikan bantuan zakat sebagai sokongan awal di kediaman keluarga berkenaan di Guchil Bayam, Kota Bharu.

[VIDEO] Ibu Imani Terima RM30,000, Rumah Lebih RM300,000 Selepas Kontroversi Sumbangan Bekas Suami
By KD | |
Kisah Nur Shahera Mad Nasir, seorang ibu yang cekal menjaga…
Gadis Cemerlang Dari Tumpat Dapat Tawaran UM Perlu Bantuan Kejar Impian
By KD | |
Seorang gadis dari Kampung Talak, Chabang Empat, Tumpat berdepan cabaran…
676 Rumah Dhuafa’ Dibina Percuma di Kelantan, Kos RM33.3 Juta
By KD | |
Sebanyak 676 unit Rumah Dhuafa’ telah dibina secara percuma di…



Mereka yang ingin membantu boleh menghubungi 012 254 8884 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 11 222 312 8620 atas nama Wan Mohd Firdaus atau BSN 0301041100101724.

Sumber: Berita Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!