SUNGAI BULOH – Perniagaan etok salai milik seorang ibu tunggal dari Kelantan, Wan Rosmani Wan Hassan, 46, atau mesra dikenali sebagai Kak Ros, mencatat lonjakan luar biasa selepas kisahnya tular di media sosial.
Wan Rosmani berkata, beliau sudah hampir 20 tahun berniaga etok, namun peningkatan jualan hanya mula dirasai sejak kisahnya menerima tajaan umrah dipaparkan di platform digital.
“Kalau dulu, satu guni (35 kilogram) etok ambil masa tiga ke empat hari untuk habis. Sekarang sehari boleh habis sampai empat ke lima guni,” katanya ketika ditemui.
Video tular itu pada mulanya dirakam semasa beliau dipilih menerima tajaan menunaikan umrah oleh Ikhlasdotcom, yang turut memaparkan kisah hidupnya membesarkan anak-anak selepas kehilangan suami pada 2017.
Dari Kelantan ke Selangor
Menurut Kak Ros, perniagaannya bermula secara kecil-kecilan di Kelantan sebelum berhijrah ke Selangor lebih 10 tahun lalu. Kini beliau berniaga di Bandar Baru Sungai Buloh bersama dua anak yang masih bujang.
“Dulu masa mula-mula, satu guni pun lambat habis. Tapi lepas tular, sehari pun boleh habis banyak guni. Kadang stok tak cukup sampai terpaksa cuti berniaga sementara,” katanya.
Menariknya, Kak Ros kini merupakan antara dua sahaja peniaga etok salai di Selangor. Produk dijual dengan pelbagai perisa termasuk original, tomyam, pedas manis dan paprika pada harga RM6 sebungkus.
Tegas Soal Kesegaran
Walaupun ramai peniaga kecil mengambil stok daripadanya untuk dijual semula, Kak Ros tetap tegas menjaga kualiti.
Beliau tidak membenarkan orang lain menggunakan namanya kerana bimbang etok disimpan terlalu lama sehingga tidak lagi segar.
“Kita mahu pelanggan rasa etok yang segar. Kalau tak jaga, reputasi perniagaan boleh terjejas,” katanya.
Rezeki Umrah & Harapan Masa Depan
Mengulas pengalaman umrah yang ditaja baru-baru ini, Kak Ros menyifatkannya sebagai momen paling istimewa, apatah lagi beliau baru sahaja kehilangan ayah ketika itu.
“Tiga hari selepas ayah meninggal dunia, saya dapat tahu terpilih ke Tanah Suci. Saya anggap itu rezeki selepas menjaga orang tua,” katanya.
Kak Ros berharap momentum selepas tular ini mampu mengekalkan kelangsungan perniagaannya, walaupun persaingan semakin mencabar.
“Insya-ALLAH saya mahu terus berusaha. Kalau ada rezeki lebih, saya nak tambah baik perniagaan dan bantu anak-anak pula,” ujarnya.
#KelantanDaily
Sumber: Makan Sedap KL, Sinar Harian
